Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Ahmad Dato Sri Ibrahim mahu kerajaan tubuhkan Lembaga Kemajuan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Foto tangkap layar Parlimen Malaysia

Kerajaan digesa tubuhkan Lembaga Kemajuan Bumiputera Sabah dan Sarawak

ByMuqri Aziz

KUALA LUMPUR, 4 Mac: Kerajaan digesa menubuhkan Lembaga Kemajuan Bumiputera Sabah dan Sarawak sebagai badan khas yang berperanan memastikan setiap strategi pembangunan ekonomi Bumiputera di Malaysia Timur dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Dewan Negara, Dato Ahmad Dato Sri Ibrahim, yang menegaskan bahawa badan ini perlu berfungsi sebagai pemantau dasar untuk menyelaras, menilai dan mengawasi pelaksanaan program pembangunan ekonomi Bumiputera agar lebih telus serta berimpak tinggi.

“Agenda Pemerkasaan Bumiputera Malaysia Timur harus menjadi keutamaan nasional kerana kejayaan Malaysia tidak boleh hanya dinikmati oleh segelintir wilayah sahaja.

“Saya menyeru kerajaan agar mengangkat cadangan ini sebagai dasar nasional bagi memastikan pembangunan ekonomi Bumiputera bukan hanya tertumpu di Semenanjung tetapi merangkumi seluruh negara,” katanya ketika membahaskan Perbahasan Titah Diraja 2025 di Dewan Negara hari ini.

Ahmad turut menyatakan kebimbangannya bahawa walaupun kerajaan telah memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA 2035), masih wujud risiko ia tidak memberikan manfaat menyeluruh kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan merangka Blueprint Kemajuan Bumiputera Sabah dan Sarawak sebagai satu pelan pembangunan berskala besar yang dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di rantau berkenaan.

“Blueprint ini mesti menjadi kesinambungan kepada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dengan skop khas yang memberi tumpuan kepada ekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak. Penekanan terhadap pelaksanaannya perlu dibuat segera,” katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penubuhan Zon Ekonomi Khas Sabah & Sarawak sebagai langkah menarik pelaburan serta merangsang industri tempatan.

Selain itu, kerajaan wajar menubuhkan Dana Pembangunan Bumiputera Malaysia Timur untuk menyediakan skim pembiayaan khas kepada usahawan Bumiputera di kedua-dua negeri.

“Sabah dan Sarawak bukan sekadar penyumbang hasil kepada negara tetapi rakyatnya, khususnya Bumiputera, masih berdepan jurang sosio-ekonomi yang ketara. Kita tidak boleh membiarkan satu kelompok terus tertinggal sedangkan negara mara ke hadapan,” tegasnya.

Dalam usaha memastikan pembangunan ekonomi yang lebih efektif, beliau turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memberi lebih fleksibiliti autonomi ekonomi kepada Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah serta Sarawak perlu duduk semeja untuk merangka pelan pembangunan yang bersesuaian dengan keperluan setempat.

“Pembangunan ekonomi harus mengambil kira faktor tempatan. Autonomi ekonomi yang lebih fleksibel perlu diberikan supaya Sabah dan Sarawak dapat mengurus serta mempercepatkan inisiatif pemerkasaan ekonomi Bumiputera,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan