Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Anthony Loke ketika melakukan lawatan kerja di Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di sini, hari ini Foto TVS

Terminal Bersepadu Gombak mula beroperasi 15 Mac ini – Loke

ByHafeezzur Muzamir

GOMBAK, 4 Mac: Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dijadualkan untuk dibuka kepada orang ramai bermula 15 Mac ini setelah ia menerima ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) minggu depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, MOT dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan pemeriksaan akhir terhadap ciri-ciri keselamatan TBG pada minggu depan sebelum memberikan kebenaran operasi.

Menurut Loke, pada minggu pertama pembukaannya, TBG hanya akan mengaktifkan platform ‘drop off’ terlebih dahulu untuk bas-bas menurunkan penumpang mereka.

“Bas-bas khususnya dari Pantai Timur yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur boleh ‘drop-off’ di sini. Tempoh percubaan ini akan mengambil masa satu minggu.

“Selepas semuanya selesai dan kalau tempoh percubaan memberangsangkan, maka minggu kedua barulah bas-bas boleh mengambil penumpang dari terminal ini.

“Sasaran kita ialah, menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti, orang ramai boleh menggunakan terminal ini sebagai ‘gateway’ untuk menaiki bas ekspres untuk pulang ke kampung,” katanya ketika melakukan lawatan kerja di TBG di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, MOT telah mengarahkan agensi pelaksana untuk meningkatkan ketersambungan antara TBG dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak bagi meningkatkan pengalaman pengguna.

Loke menjelaskan, sewaktu lawatan kerjanya hari ini, beliau mendapati terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan, termasuk melibatkan pemasangan bumbung bagi laluan pejalan kaki antara LRT Gombak dan TBG.

“Stesen LRT memang bersebelahan dengan bangunan ini, ada ketersambungan tetapi masih belum proaktif.

“Kita (MOT) minta tambah baik lagi, mana-mana kawasan yang ada kelompongan, kita minta untuk ditutupi. Ia termasuk longkang-longkang yang perlu ditutup bagi memastikan keselamatan pengguna terjaga,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai ketersambungan dengan stesen Terminal Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak pula, Loke berkata pihaknya meminta Malaysia Railways Berhad dan Syarikat Perumahan Negara Berhad untuk melakukan kajian.

“Meskipun ketika ini memang ada dalam perancangan untuk memasang eskalator menghubungkan Terminal ECRL Gombak dengan stesen LRT Gombak, tetapi saya minta mereka buat kajian bagi memastikan kemudahan itu juga dapat disambung ke TBG.

“Ini bagi memudahkan penumpang dan dapat memendekkan lagi perjalanan mereka,” katanya. – TVS

Tags: jkr, Loke, MOT

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan