KUALA LUMPUR, 4 Mac: Kerajaan Malaysia menegaskan komitmennya dalam menyokong proses peralihan kuasa secara aman di Syria susulan kejatuhan rejim Presiden Bashar al-Assad pada 8 Disember 2024.
Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sesi Dewan Rakyat hari ini menyatakan bahawa Malaysia memantau rapat perkembangan semasa di negara tersebut dan menyeru semua pihak untuk mengutamakan keamanan serta kestabilan.
“Malaysia menegaskan kepentingan penglibatan semua pihak secara menyeluruh dalam usaha proses damai ini serta mengembalikan keamanan dan kestabilan di Syria.
“Semua pihak harus mematuhi undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan resolusi Majlis Keselamatan PBB,” katanya ketika menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib yang ingin tahu pendirian kerajaan terhadap Kerajaan Interim Syria itu.
Pada 29 Januari 2025, Abu Muhammad al-Jolani atau Ahmed al-Sharaa telah diisytiharkan sebagai Presiden Republik Arab Syria bagi fasa peralihan.
Beliau diberi mandat untuk membentuk majlis perundangan sementara sehingga perlembagaan baharu digubal dan dilaksanakan dan antara langkah awal kerajaan interim termasuk pembatalan Perlembagaan 2012 serta penggantungan agensi keselamatan, tentera dan parti-parti politik yang berkaitan dengan rejim terdahulu.
Malaysia, menurut Mohamad, mengekalkan pendirian tidak mencampuri urusan dalaman negara lain namun berharap agar kerajaan interim dapat melaksanakan tanggungjawabnya secara adil dan inklusif demi kepentingan rakyat Syria.
“Malaysia juga akan menyokong usaha damai untuk penyelesaian yang menyeluruh, berdasarkan prinsip hak asasi manusia, keadilan dan keamanan yang mampan.
“Sebagai negara yang komited terhadap kesejahteraan global, Malaysia bersedia memainkan peranan konstruktif dalam menyokong pemulihan dan pembinaan semula Syria,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Malaysia terbuka untuk meneruskan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria dengan fokus kepada sektor kesihatan, pendidikan dan penyediaan keperluan asas. – TVS