Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata autogate di KLIA 1 dan KLIA 2 menunjukkan keberkesanan dalam mempercepatkan proses keluar masuk penumpang. Foto JAPEN

Hampir 800,000 individu guna MyBorderPass, autogate bakal dipasang di Kuching

ByMuqri Aziz

KUALA LUMPUR, 4 Mac: Sistem pelepasan imigresen di pintu masuk utama negara semakin efisien dengan penggunaan MyBorderPass dengan hampir 800,000 rakyat Malaysia telah mendaftar sejak dilancarkan pada 1 Januari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sistem pintu automatik atau autogate menggunakan kod QR yang diperkenalkan di KLIA 1 dan KLIA 2 telah menunjukkan keberkesanan dalam mempercepatkan proses keluar masuk penumpang.

“Berdasarkan data, 786,603 rakyat Malaysia telah memuat turun aplikasi MyBorderPass dan sejak pelaksanaannya, 25 peratus daripada pengguna di KLIA 1 dan 2 menggunakan autogate kod QR, berbanding 60 peratus dengan autogate pasport dan 15 peratus melalui kaunter manual.

“Purata masa untuk melepasi autogate kod QR hanya lima saat, jauh lebih pantas berbanding autogate pasport (15 saat) dan kaunter manual yang bergantung kepada panjang barisan,” katanya ketika menjawab soalan dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau ingin tahu sejauh manakah keberhasilan tempoh percubaan penggunaan kod QR untuk rakyat tempatan mulai Januari 2025 bagi sistem pelepasan imigresen di 40 lorong khas Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA dalam menyelesaikan isu kesesakan di pintu masuk negara.

Melihat kepada kejayaan pelaksanaan sistem ini di KLIA, kerajaan kini merancang untuk memperluaskannya ke lapangan terbang utama lain.

“Sebagai langkah seterusnya, autogate kod QR ini akan dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching dan Langkawi bagi memastikan kelancaran pergerakan di pintu masuk utama negara,” katanya.

Pelaksanaan sistem ini menjadi keutamaan kerana Malaysia bakal menjadi tuan rumah hampir 400 mesyuarat peringkat ASEAN tahun ini, melibatkan pegawai kanan, menteri serta ketua-ketua negara.

Selain itu, langkah ini juga bersesuaian dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 yakni peningkatan jumlah pelancong dijangka memerlukan sistem imigresen yang lebih cekap.

“Jika pelaksanaan ini berjaya, kita akan menambah lebih banyak unit di KLIA 1 dan 2 serta terus memperluaskannya ke lapangan terbang lain bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar,” ujar beliau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan