MIRI, 2 Mac: Junior Camber International (JCI) mampu membentuk pemimpin muda bertanggungjawab dan berkaliber sekali gus membantu memimpin Sarawak pada masa depan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Chin berkata, pemimpin muda atau pelapis sebenarnya perlu dibentuk bermula dari sekarang dan JCI merupakan platform terbaik untuk mencapai hasrat tersebut.
“JCI adalah platform latihan yang sangat baik untuk pemimpin muda. Pertama sekali, anda perlu bertanggungjawab. Saya menyaksikan sendiri bagaimana JCI membentuk pemimpin. Selepas setahun memegang jawatan sebagai presiden, perubahan besar boleh dilihat dalam diri mereka,” katanya pada JCI Miri 63rd Installation Awards Luncheon di sini, hari ini.
Kim Shin yang juga Senator JCI Miri mahu pertubuhan itu memberi tumpuan kepada inisiatif berkaitan kelestarian, sejajar dengan dasar Kerajaan Sarawak.
“Dalam perancangan JCI dan projek anda, saya fikir ada satu bidang yang perlu kita fokuska iaitu kelestarian. Ini sangat penting kerana ia mempengaruhi masa depan generasi muda kita.
“Terdapat 17 Matlamat Pembangunan Mampan, tetapi kita perlu memberi tumpuan kepada beberapa perkara utama seperti perubahan iklim, tenaga boleh diperbaharui, dan biodiversiti,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar JCI Miri memulakan projek pengurangan sisa plastik di bandar menerusi program kesedaran awam.
“Kita perlu mendidik masyarakat mengenai kepentingan mengurangkan sisa, mengitar semula dan memanfaatkan semula bahan buangan. Sebagai contoh, botol plastik dan kotak kadbod mempunyai nilai jika dikumpulkan atau dijual kepada pengedar barang terpakai.
“Kita boleh memulakan program kesedaran awam untuk mengurangkan sisa dan memanfaatkan bahan buangan ini,” jelasnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.-TVS