MIRI, 1 Mac: Generasi muda perlu digalakkan untuk terlibat dalam bidang sains selari dengan perkembangan semasa.
Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kemajuan teknologi dan pembangunan masa ini memerlukan ramai individu yang mahir serta mempunyai kepakaran dalam bidang sains.
“Jika kita lihat di bawah PCDS 2030, polisi diubah yang mana sains turut diberi perhatian dalam membangunan Sarawak menerusi ekonomi baharu.
“Kita tidak mempunyai pilihan tetapi perlu memupuk minat terhadap sains dalam kalangan masyarakat. Sasaran kita adalah sekurang-kuranga 60 peratus pelajar terlibat dalam bidang sains.
“Ini penting untuk memastikan Sarawak mengadaptasi apa sahaja teknologi atau pembangunan moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam DBNA Ngarom Pewun Bisamah 2025 di Miri semalam.
Sagah menjelaskan, minat terhadap sains tidak boleh dipandangan ringan kerana dunia sekarang bergerak ke arah inovasi digital termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Kita tidak boleh ketinggalan dan kita mesti seiring dengan perubahan yang berlaku,” ujarnya.-TVS