KUALA LUMPUR, 1 Mac: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan dividen berjumlah 6.3 peratus untuk kedua-dua simpanan membabitkan konvensional dan shariah bagi tahun 2024.
Ia membabitkan pengagihan masing-masing RM63.05 bilion untuk simpanan konvensional dan RM10.19 bilion bagi simpanan shariah.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion,” menurut KWSP menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya.
Pengumuman oleh KWSP itu menyaksikan kadar dividen bagi 2024 adalah lebih tinggi berbanding 2023 bagi kedua-kedua simpanan.
Pada 2023, KWSP memberikan dividen berjumlah 5.5 peratus bagi simpanan konvensional, manakala bagi simpanan shariah pula sebanyak 5.4 peratus. – TVS