Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ramadan bukan bulan untuk kita membazir tetapi masa untuk mengawal diri, menahan nafsu, memperbanyakkan ibadah dan amal kebajikan. Foto AI

Ramadan bukan bulan kempiskan poket

ByMahathir Haroun

ESOK merupakan tarikh penting bagi umat Islam di Malaysia dan beberapa negara jiran kerana bermulanya masa untuk menunaikan rukun Islam keempat iaitu berpuasa di bulan Ramadan.

Sudah pasti kebanyakan kita sudah mula memikirkan juadah untuk berbuka puasa dan merancang untuk mengunjungi bazar Ramadan yang menjual pelbagai makanan atau minuman.

Di sebalik keterujaan kita menyambut Ramadan, juadah yang dibeli atau disediakan tidak seharusnya berlandaskan nafsu.

Ini kerana Ramadan bukan bulan untuk kita membazir tetapi masa untuk mengawal diri, menahan nafsu, memperbanyakkan ibadah dan amal kebajikan.

Salah satu nilai utama yang ditekankan dalam bulan ini adalah kesederhanaan.

Sering kali kita melihat ramai yang berbelanja berlebihan ketika membeli juadah berbuka. Namun Islam mengajar kita untuk makan sekadar yang perlu dan mengelak pembaziran.

Bulan Ramadan juga bukan masa untuk berbelanja boros sama ada untuk makanan, pakaian atau hiasan rumah sebaliknya fokus kepada keperluan dan bukan keinginan.

Kalau boleh kita buat senaraikan barang sebelum membeli, utamakan keperluan asas dan simpan sebahagian rezeki untuk bersedekah.

Ramadan boleh disifatkan sebagai bulan ibadah namun kita perlu mengekalkan keseimbangan agar tidak membebankan diri.

Sebagai contoh, solat terawih boleh dilakukan mengikut kemampuan dan ibadah lain seperti membaca al-Quran dan berzikir boleh dilakukan secara berterusan tanpa memaksa diri.

Selain makanan dan perbelanjaan, kesederhanaan juga perlu dalam kehidupan seharian.

Tidur dan rehat mencukupi serta mengawal emosi adalah kunci untuk kekal bertenaga sepanjang Ramadan.

Kesederhanaan bukan hanya membantu kita menempuhi Ramadan dengan lebih bermakna tetapi juga membawa keberkatan dalam kehidupan seharian.

Dengan mengamalkan kesederhanaan, kita dapat lebih fokus kepada ibadah, menjaga kesihatan dan meningkatkan hubungan dengan Allah serta sesama manusia.

Semoga Ramadan kali ini menjadi lebih bermakna dengan amalan kesederhanaan.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan