Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa sidang media selepas mempengerusikan Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru, hari ini. Foto Bernama

Permukiman AEM ke-31 sokong penuh 18 keberhasilan ekonomi berkeutamaan – Tengku Zafrul

ByBernama

KOTA TINGGI, 28 Feb: Kalangan anggota ASEAN sebulat suara menyokong cadangan 18 Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) pada sesi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-31 di sini, hari ini.

Ketika berkongsi perkara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata separuh atau sembilan daripada PED itu adalah di bawah AEM manakala bakinya yang biarpun masih di bawah tonggak ekonomi, berada di bawah badan sektoral lain.

“Pada hari ini kami membincangkan sembilan PED itu dan kesemuanya telah dipersetujui. Saya juga telah dimaklumkan bahawa badan sektoral lain turut menyokong baki sembilan PED lain.

“Selaku pengerusi, Malaysia berterima kasih kepada kesemua anggota ASEAN di atas sokongan dan komitmen bagi memastikan pelaksanaan PED ini,” katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan sesi permukiman kali ini di Desaru, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata sembilan PED di bawah bidang kuasa langsung AEM termasuk perundingan serta pemeteraian protokol kedua bagi meminda Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan menandatangani Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0.

PED lain merangkumi pemuktamadan penting bagi semakan semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA), satu deklarasi bersama mengenai kerjasama ekonomi ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) selain menerima Garis Panduan Pelaburan Mampan ASEAN (ASIG).

Baki PED di bawah AEM melibatkan aspek pembangunan cadangan dasar dan garis panduan bagi menyokong pelan hala tuju pelaksanaan kenderaan elektrik (EV) ASEAN, Pusat Kecemerlangan ASEAN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam Peralihan Hijau, Rangka Kerja ASEAN untuk Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu (AFISS) selain pemuktamadan penting Rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

Tengku Zafrul berkata sembilan PED lain yang bukan secara langsung di bawah Menteri Ekonomi ASEAN merangkumi bidang pembiayaan iklim, pembangunan pasaran modal ASEAN, kerjasama tenaga, pertanian, mineral penting, pelancongan, syarikat pemula niaga teknologi, rangkaian keselamatan kecerdasan buatan (AI) dan ketersambungan pembayaran.

Sesi permukiman dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan itu diadakan di Desaru pada 22-28 Feb, 2025, bersempena peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.

Kepengerusian Malaysia yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan,” juga memaparkan aspirasi Malaysia ke arah memperkukuh komuniti ASEAN yang lebih terangkum dan mampan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan