KUCHING, 28 Feb: Sarawak kini semakin menonjol sebagai destinasi utama pelaburan di ASEAN dengan kedudukan strategiknya yang semakin diiktiraf.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan peralihan pusat ekonomi ke Asia terutamanya ASEAN, Sarawak berada di landasan tepat untuk menjadi pintu masuk utama bagi pelaburan.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur terancang dan strategik menjadi tunjang utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta menarik minat pelabur ke wilayah ini.
“Sektor aeroangkasa sedang berkembang pesat di ASEAN dan Sarawak bersedia untuk menjadi hab utama dalam industri berpotensi tinggi ini, memanfaatkan lokasi strategik dan komited terhadap inovasi teknologi tinggi.
“Selain itu, rancangan kami untuk membangunkan ekosistem pembuatan dan penyelenggaraan aeroangkasa yang sedang menarik pelaburan dalam komponen aeroangkasa bernilai tinggi, penyelenggaraan pesawat dan penyelidikan dalam bahan bakar penerbangan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi dan Perniagaan Sarawak Asean 2025 di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, penubuhan Akademi Aeroangkasa di CENTEXS Lundu merupakan satu perubahan besar yang bakal menyediakan tenaga kerja Sarawak dalam kejuruteraan aeroangkasa, teknologi dron dan pembuatan satelit untuk memenuhi keperluan masa depan.
“Untuk menarik pelaburan dalam pembuatan aeroangkasa dan menggalakkan kerjasama industri, Sarawak sedang meneroka pembangunan Taman Industri Aeroangkasa sekali gus meletakkan wilayah ini sebagai hab pengeluaran komponen aeroangkasa bernilai tinggi dan penyelidikan.
“Malah pelancaran AirBorneo akan merombak keterhubungan udara ASEAN. Sebagai syarikat penerbangan yang berpangkalan di Sarawak, AirBorneo akan memperkukuhkan laluan serantau, memperluaskan aksesibiliti antarabangsa dan membuka peluang baharu dalam pelancongan, perdagangan serta logistik,” ujarnya.
Turut hadir dua Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.-TVS