Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Hak penerokaan petroleum, gas asli babitkan Petronas dan PETROS perlu diselesaikan segera

ByKuan Thai Far

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Isu hak penerokaan petroleum dan gas asli di perairan Sarawak perlu diselesaikan segera melalui kerjasama antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), kata Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin.

Beliau menegaskan bahawa penyelesaian ini penting untuk kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

“Secara peribadi, saya rasa perbincangan ini telah memakan masa yang terlalu lama. Ia perlu diputuskan segera untuk menghormati hak Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui TVS.

Willie menjelaskan bahawa kerajaan kini sedang berusaha menyelesaikan isu tersebut dan sedang berbincang untuk mencari jalan penyelesaian yang memanfaatkan semua pihak.

“Kita duduk semeja, bincang, untuk mencari jalan penyelesaian. Perkara ini termaktub dalam Seksyen 8(j) Senarai Persekutuan, yang merujuk kepada Seksyen 2(C) Senarai Negeri, di mana minyak dan petroleum berada di bawah kuasa negeri. Perkara ini amat jelas dan perlu dilaksana segera,” katanya.

Willie turut menafikan dakwaan bahawa Petronas mengalami kerugian dalam rundingan tersebut.

“Sebenarnya, mereka masih bekerjasama, dan saya melihat ini sebagai perkara yang baik untuk kemakmuran bersama,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan bahawa hasrat Sarawak untuk meneroka industri minyak dan gas berdasarkan Ordinan Negeri adalah tepat, memandangkan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 mengiktiraf hak Sarawak untuk menguruskan sumber tersebut.

“Jika Sarawak melaksanakan penerokaan lebih jauh, termasuk dalam industri hiliran, ia akan memberi manfaat besar kepada negeri dan rakyat,” katanya.

Willie pada masa turut menggesa Sarawak untuk memanfaatkan peluang mengembangkan industri hiliran gas asli, yang akan memberi kesan limpahan besar kepada ekonomi negeri, termasuk dalam sektor logistik, pekerjaan, dan kutipan cukai.

“Sekarang, 94% gas dieksport oleh Petronas ke luar negara. Hasil daripada industri hiliran ini tidak dapat dinikmati di Sarawak, yang merugikan bukan sahaja negeri tetapi negara Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, Willie berpendapat dasar dan hala tuju pembangunan harus jelas antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk memastikan kesinambungan dan kemajuan sektor tersebut. Beliau juga menekankan pentingnya kestabilan politik untuk menarik pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi berpendapat Sarawak telah lama menyumbang kepada ekonomi negara melalui hasil minyak dan gas, namun pulangan yang diterima tidak mencerminkan sumbangan sebenar.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan terus menghormati hasrat dan hak Sarawak dalam pembangunan industri minyak dan gas di negeri tersebut.

“Usaha untuk meneroka dan menguruskan sumber berkenaan adalah hak sah Sarawak berdasarkan undang-undang yang termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958,” katanya.

Beliau pada masa yang sama berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menemui penyelesaian menerusi perbincangan bersama Kerajaan Sarawak berkenaan dengan minyak dan gas, yang memperkasakan Petros sebagai ‘aggregator’ tunggal di Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan