KUCHING, 27 Feb: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Qatar ke Malaysia, Salah Mohammed Al-Sorour di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Menurut kenyataan Astana Negeri Sarawak, kunjungan sulung Salah itu bertujuan untuk memperkenalkan diri, beramah mesra serta mengukuhkan hubungan antara Qatar dan Sarawak.
Dalam pertemuan tersebut, beliau turut berkongsi sejarah Sarawak dan Malaysia, serta peranan Malaysia dalam pembangunan Sarawak.
Selain itu, Tun Dr Wan Junaidi dan Salah bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa serta membincangkan potensi kerjasama dalam pelbagai bidang strategik.
“Salah Mohammed Al-Sorour menyatakan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan serta menyatakan minat untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama yang boleh membawa manfaat bersama.
“Tun Wan Junaidi menzahirkan harapan agar pertemuan ini menjadi asas kepada hubungan yang lebih erat antara Sarawak dan Qatar serta membuka peluang kepada lebih banyak kolaborasi diplomatik dan ekonomi pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, sebelum bertemu berkunjung ke Astana Negeri Sarawak, turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, pagi tadi.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan diplomatik dan sosioekonomi antara Sarawak dan Qatar.
Turut mengiringi beliau ialah Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Fenny Nuli, bersama Timbalan Ketua Pejabat Kedutaan, Ibrahim Abdullah Al-Sharain, Setiausaha Ketiga Kedutaan, Abdul Rahman Abdulla Al Mulla, serta Penyelidik Politik Kedutaan, Ali Mansour Ali Amir. – TVS