KUCHING, 27 Feb: Kerajaan Sarawak terus komited untuk meningkatkan kemasukan pelancong asing ke Sarawak dalam misi memajukan sektor tersebut.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya telah melakukan yang terbaik dalam memastikan sektor pelancongan di negeri ini menjadi tarikan kepada pelancong asing.
“Untuk 3 tahun yang lepas, target kami tercapai yang bermaksud kami telah melakukannya dengan baik, tapi saya tidak boleh cakap menteri sahaja yang terlibat kerana pelancongan merupakan sektor yang di mana memerlukan semua orang terutamanya beberapa agensi turut serta dalam mempromosikan sektor pelancongan,” katanya pada sidang media di pejabat DayakDaily di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa jumlah kemasukan pelancong asing terus meningkat selepas pandemik COVID-19 bermula pada tahun 2022 hingga 2024 telah mencapai sasaran yang ditetapkan, dan sasaran peningkatan untuk tahun 2025 sebanyak 5 juta pelancong.
“2022 kita telah berusaha untuk mengumpul kembali kemasukan pelancong asing dengan sasaran yang rendah sebanyak 2 juta, 2023 kita meningkatkan sasaran kepada 1 juta yang juga telah mencapai sasaran sebanyak 3 juta, 2024 kita meningkatkan lagi sebanyak 1 juta dengan nilai keseluruhan pada 31 Disember 2024 sebanyak 4.8 juta.
“Untuk tahun 2025, bukan saya yang menetapkan sasaran tersebut tetapi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa pembentangan belanjawan tahun lepas pada November, beliau yang mencadangkan 5 juta sasaran kemasukan pelancong asing.” ujarnya.
Tambahnya, pada Januari 2025, sebanyak 400,531 kemasukan pelancong ke Sarawak yang merupakan angka besar dalam mencapai sasaran yang telah ditetapkan sebelumnya.
Peningkatan pelancong itu mencapai 30.47 peratus hanya untuk bulan Januari 2025, manakala pelancong asing yang datang ke wilayah ini juga mengalami peningkatan sebanyak 233,404 berbanding tahun 2024. -TVS