KUCHING, 26 Feb: Pembeli rumah di Taman Vision Hill Fasa 1 kini boleh menikmati kediaman yang luas, selesa dan mampu milik, selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyediakan perumahan berkualiti untuk rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek perumahan yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Hong Seng Construction itu menyediakan lebih 250 unit rumah Sri Pertiwi dalam fasa pertama, dengan lima fasa lagi bakal menyusul.
“Apa yang penting, saya lihat seni bina rekaan rumah ini sangat sesuai untuk keluarga yang membeli dengan harga yang telah ditetapkan.
“Dengan kawasan yang begitu luas untuk keluarga yang mempunyai tiga orang anak termasuk ibu bapa, rumah ini mempunyai struktur yang begitu tersusun,” katanya.
Abang Johari berkata pada sidang media pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Sri Pertiwi, Taman Vision Hill, di Lorong Sungai Tengah 5, Matang, di sini pada Rabu.
Tambahnya, rumah Sri Pertiwi itu juga dibina dengan tempat letak kereta untuk dua buah kenderaan, satu kelebihan tambahan buat pembeli.
Selain keluasan rumah, Taman Vision Hill juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk taman permainan kanak-kanak dan trek joging khas.
“Ini adalah satu usaha yang baik untuk community bonding, dan di sini saya nampak bahawa struktur dan cara susun atur kawasan ini sangat cantik,” jelasnya.
Bagi meringankan beban pembeli, kerajaan Sarawak turut menanggung deposit sebanyak RM10,000 bagi setiap rumah, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan lebih RM250,000 untuk projek ini.
“Tidak payah bayar balik, kerana kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tanggung,” katanya.
Menurut Abang Johari, setakat ini lebih 1,900 unit rumah telah menerima bantuan deposit daripada kerajaan menerusi Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Abang Johari turut mengumumkan projek perumahan mampu milik baharu di Batu 15, Jalan Kuching-Serian yang akan dibangunkan oleh Hong Seng Construction dan HDC menggunakan reka bentuk yang sama.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak (ACCCIS) Datuk Tan Jit Kee. – TVS