SANTUBONG, 26 Feb: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) melahirkan 2,043 orang graduan Sijil Kompetensi menerusi majlis konvokesyen kesembilan yang bermula hari ini hingga 28 Februari.
Istiadat konvokesyen disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Serba Guna CENTEXS di Santubong, di sini.
Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, daripada jumlah itu seramai 1,624 graduan dari Akademi Industri dan ESG (IESGA), manakala 419 graduan lagi dari Akademi Digital, Tenaga Hijau dan Aeroangkasa (DGEA).
Kesemua graduan terbabit berjaya menamatkan pengajian dalam 52 daripada keseluruhan 84 program yang ditawarkan oleh CENTEXS.
Program-program ini memfokuskan bidang-bidang seperti Kecerdasan Buatan, Mikroelektronik, Tenaga Hijau, Minyak dan Gas, Elektrik, Ukur Tanah, Kelestarian Alam Sekitar, Teknologi Fesyen, Warisan, Hospitaliti, dan Pelancongan.
Morshidi juga memaklumkan bahawa seramai 52 Anugerah Pelajar Terbaik akan diberikan kepada pelajar cemerlang dari kedua-dua akademi tersebut.
“Konvokesyen kali ini turut memperkenalkan Graduasi Edisi Khas untuk enam Pekerja CENTEXS,” katanya.
Menurut Morshidi, graduan CENTEXS kini bekerja dalam pelbagai sektor industri di Sarawak, Malaysia, serta di peringkat antarabangsa, dengan syarikat-syarikat ternama seperti Huawei, Melexis, SLB, Sarawak Metro, Sarawak Energy, dan PETROS.
Dalam majlis yang sama, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MOU) antara CENTEXS dan beberapa institusi serta syarikat terkemuka, termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), Maragang Green Valley Dairy Sdn Bhd (MGVD), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sarawak Energy Berhad, Dewan Bandaraya Kuching Utara, Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelancongan Sarawak, Sarawak River Teknologi, dan Knowledge Grid International Sdn Bhd.
Majlis ini juga menyaksikan Abang Johari merasmikan Rocket Saturn V Replica dan Akademi Aeroangkasa CENTEXS Dua sebagai simbolik kepada komitmen Kerajaan Sarawak dalam memajukan sektor aeroangkasa dan teknologi di negeri ini. -TVS