KUALA LUMPUR, 25 Feb: Penswastaan dan penyahsenaraian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diyakini akan memberi manfaat besar kepada industri penerbangan tempatan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, langkah berkenaan juga selari dengan komitmen kerajaan untuk membangunkan sektor tersebut.
“Keputusan ini adalah salah satu contoh (keputusan) yang kita ambil untuk kebaikan industri dan kita positif (kerana) ia akan memberikan kesan positif nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Majlis Apresiasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) di sini, hari ini.
MAHB telah dinyahsenarai dari Bursa Malaysia hari ini susulan penswastaan yang dilakukan oleh konsortium Gateway Development Alliance (GDA) selepas beroperasi selam 25 tahun sebagai syarikat tersenarai sejak ia ditubuhkan pada 30 Nov, 1999.
Syarikat tersebut merupakan lapangan terbang tersenarai awam pertama di Asia dan keenam di seluruh dunia pada tahun tersebut.
Sementara itu pada majlis tersebut, MAVCOM turut mengumumkan Papan Pemuka Prestasi Syarikat Penerbangan dan Lapangan Terbang yang dinaiktaraf akan dilancarkan pada 1 April depan di laman rasminya.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata papan pemuka itu direka untuk menunjukkan data prestasi utama industri penerbangan.
Ini termasuk ketepatan masa penerbangan (OTP), pembatalan penerbangan dan pelbagai penunjuk prestasi lapangan terbang selaras dengan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (QoS). – TVS