Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sarawak ke arah projek Power-to-X, ubah landskap tenaga dunia

KUCHING, 25 Feb: Sarawak kini melangkah ke arah penerokaan teknologi Power-to-X (P2X) dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui untuk menghasilkan hidrogen bersih, membuka lembaran baharu dalam industri tenaga global.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pemain utama dalam tenaga hijau, tetapi juga berpotensi mengubah landskap tenaga dunia.

“Dengan menggabungkan hidrogen dengan karbon dioksida, kita boleh menghasilkan pelbagai bahan api sintetik dan bahan kimia seperti metanol hijau, bahan api penerbangan mampan, ammonia hijau, dan poliester hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan EIC Connect Energy Borneo 2025 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini, hari ini.

Menurutnya, poliester hijau yang terhasil daripada proses P2X boleh digunakan untuk menghasilkan gentian, botol, dan filem plastik, menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan.

Dalam merealisasikan agenda tenaga bersih, Abang Johari turut menegaskan bahawa Sarawak telah mencapai kemajuan ketara dengan pelaksanaan projek metanol hijau pertama melalui Sarawak Petchem.

“Projek ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Sarawak terhadap penyelesaian tenaga inovatif, tetapi juga meletakkan negeri ini sebagai peneraju dalam peralihan kepada sistem tenaga yang lebih bersih dan mampan,” jelasnya.

Sarawak telah lama dikenali sebagai negeri kaya dengan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidroelektrik kini bersedia menjadi hab utama dalam penghasilan tenaga bersih yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor termasuk penerbangan dan perindustrian.

Langkah Sarawak dalam menerajui teknologi P2X bukan sahaja membuka peluang ekonomi baharu tetapi juga mengukuhkan reputasi negeri ini sebagai pemacu utama dalam peralihan tenaga hijau global.

Dengan keupayaan untuk menghasilkan bahan api dan bahan kimia berasaskan hidrogen bersih, Sarawak bersedia menjadi pusat rujukan dalam industri tenaga mampan.

“Inisiatif ini bukan sekadar peralihan teknologi tetapi juga langkah strategik untuk masa depan tenaga yang lebih bersih dan lestari,” tambah Abang Johari.

Untuk rekod, EIC Connect Energy Borneo 2025, yang dianjurkan Majlis Industri Tenaga (EIC) dengan kerjasama Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, menjadi platform penting bagi pakar tenaga, pemimpin industri, dan wakil kerajaan untuk membincangkan peluang dan cabaran dalam sektor tenaga baharu.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan