KUCHING, 25 Feb: Kejohanan Bola Sepak Belia Antarabangsa 2025 (SIYFC 25) bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi satu gerakan besar dalam mencungkil bakat muda dan meletakkan Sarawak di peta dunia sebagai pusat pembangunan bola sepak akar umbi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata beliau amat menghargai penganjuran program seumpama ini yang signifikan dalam pembangunan bola sepak tempatan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS).
“Mungkin ramai yang tidak tahu NFDP turut melahirkan ramai pemain-pemain muda yang telah berjaya sehingga menandatangi kontrak bersama JDT 2 dan banyak lagi,” katanya dipetik dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak, hari ini.
Abdullah yang juga Penaung Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Sarawak menghadiri sidang media SIYFC25 di Stadium Sarawak, Petra Jaya, hari ini. Hadir sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif SIYFC 25, Nazree Nassir.
Dengan penyertaan pasukan dari dalam dan luar negara, SIYFC25 akan menyaksikan pemain muda dalam kategori B8, B10 dan B12 bersaing di peringkat tertinggi sambil memupuk semangat kesukanan, pembelajaran dan hubungan antara budaya.
Kejohanan ini juga menawarkan pengalaman unik kepada peserta dan peminat bola sepak dengan pelbagai acara sampingan, termasuk Kuching Ola Bola Fest, Perlawanan Pertunjukan Pilihan Selebriti vs Media serta Sarawak International Grassroots Football Summit.
Sementara itu menurut Presiden FAS, Abang Zulkarnain Abdurahman, SIYFC25 bukan hanya tentang merangkul trofi, tetapi lebih kepada mencipta pengalaman yang mampu membentuk juara masa depan.
“SIYFC25 adalah satu platform yang bukan sahaja mencabar bakat muda tetapi juga menyatukan komuniti bola sepak dari pelbagai latar belakang.
“Ini adalah peluang untuk mereka merasai suasana pertandingan bertaraf dunia sambil membina keyakinan dan semangat kerja berpasukan,” katanya.