KUALA LUMPUR, 24 Feb: Seorang pesara wanita swasta mengalami kerugian RM4 juta selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan dalam talian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa yang berusia 73 tahun tertarik untuk melabur selepas dijanjikan pulangan lumayan mencecah lapan hingga 10 peratus sehari.
Jelas beliau, skim pelaburan dinamakan PVTCMax itu dikendalikan oleh dua individu yang memperkenalkan diri sebagai Alya dan Christopher.
“Mangsa telah membuat sebanyak 62 transaksi bayaran kepada 10 akaun berbeza berjumlah RM4 juta sejak pertengahan November tahun lepas.
“Suspek mempunyai modus operandi yang sama iaitu mengumpan mangsa menerusi Facebook serta menjanjikan pulangan dan kemudian dimasukkan ke group WhatsApp yang mana segala transaksi dilakukan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah Hussein, wanita berbangsa Cina itu menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat pelbagai bayaran tambahan jika hendak mengeluarkan keuntungan.
Kes disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan. – TVS