KUCHING, 24 Feb: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) memperkukuh komitmen terhadap agenda pembangunan hijau dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dua badan pensijilan hijau terkemuka.
Majlis MoU itu ditandatangani SHEDA bersama GreenRE Sdn Bhd (GreenRE) dan Green Building Index Sdn Bhd (GIB).
Timbalan Pengerusi SHEDA, Louis Ting Tiew Hee menekankan bahawa pemeteraian MoU itu menjadi langkah strategik dalam menggalakkan lebih ramai pemaju di Sarawak menerima serta mengamalkan prinsip hijau dalam pembangunan projek.
“GreenRE dan GBI telah memainkan peranan penting dalam menetapkan penanda aras pembangunan mampan di Malaysia.
“Kami mengiktiraf sumbangan mereka dalam menggalakkan lebih ramai pemaju di Sarawak untuk menerima serta mengamalkan prinsip hijau dalam pembangunan projek,” katanya.
Majlis MoU itu disaksikan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni pada SHEDA:ENCORE di sini, hari ini.
Louis turut menyeru ahli-ahli SHEDA untuk menerajui usaha dalam mengintegrasikan kelestarian ke dalam projek pembangunan, bermula dari perancangan hingga pelaksanaan.
“Marilah kita terus meneroka cara baharu dalam mengamalkan kelestarian yang bukan sahaja akan membentuk masa depan persekitaran binaan Sarawak tetapi juga memastikan pembangunan kita sejajar dengan piawaian kelestarian yang tertinggi,” katanya.
Dalam majis itu, lima pemaju hartanah telah menerima sijil pengiktirafan atas komitmen mereka dalam menghantar projek-projek bagi penilaian dan pensijilan penarafan hijau oleh GreenRE (Green Real Estate).
Antaranya,Exal (Malaysia) Sdn. Bhd, Imasa Dinasti Sdn. Bhd, Lafrowda Properties Sdn. Bhd, Saradise Sdn. Bhd dan Sinar Mekar Properties Sdn. Bhd.-TVS