MIRI, 23 FEB: Persatuan Yayasan Taiwan Buddhist Tzu Chi Malaysia Cawangan Miri telah menyalurkan sumbangan kewangan kepada mangsa tanah runtuh dan banjir di Miri bagi membantu meringankan beban mereka akibat bencana yang berlaku baru-baru ini.
Menurut Jurucakap Persatuan Yayasan Taiwan Buddhist Tzu Chi Malaysia Cawangan Miri, Byrant Huong, jumlah sumbangan yang diterima setiap penerima berbeza bergantung kepada tahap kerugian dan keperluan masing-masing.
“Berharap agar bantuan ini dapat meringankan beban mangsa, khususnya mereka yang beragama Islam, dalam membuat persiapan menjelang Ramadan,” katanya semasa ditemui TVS di Majlis Penyampaian Bantuan di SJK(C) Chung Hua Sibuti, di sini hari ini.
Tambahnya selain bantuan kewangan, sukarelawan yayasan juga turun padang membantu membersihkan rumah mangsa yang terjejas serta memberikan sokongan moral kepada mereka yang masih dalam keadaan trauma.
Sementara itu bagi salah seorang penerima bantuan iaitu penduduk Kampung Lereng Bukit, Jaafar Muhammad, 56 tahun, beliau menyifatkan bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat digunakan untuk membeli keperluan asas dan membantu mangsa lain yang turut terkesan.
“Rumah saya mengalami kerosakan kira-kira 40 peratus, manakala rumah makcik saya sebelah pula rosak sehingga 80 peratus dan tidak selamat untuk diduduki. Bantuan ini sedikit sebanyak membantu kami dan saya juga akan menyalurkan sebahagiannya kepada saudara-mara lain di Kampung Lereng Bukit yang turut terjejas,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa terharu dengan keprihatinan Persatuan Yayasan Taiwan Buddhist Tzu-Chi yang datang membantu tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
“Apa yang dilakukan oleh Persatuan Tzu-Chi ini membuka mata kita semua bahawa bantuan tidak seharusnya terbatas kepada bangsa atau agama tertentu. Sikap prihatin seperti ini patut dicontohi oleh semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit telah meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk terutamanya beliau sendiri yang telah mengalami insiden seumpama sebanyak dua kali sebelum ini.
Berkongsi cerita yang sama, Jemat Panjang, 67 tahun, merayu agar lebih banyak persatuan dan badan amal turut sama menghulurkan bantuan memandangkan ramai lagi mangsa banjir yang masih memerlukan bantuan.
“Beban yang kami tanggung sangat berat. Saya menyeru lebih banyak persatuan dan pertubuhan untuk tampil menghulurkan bantuan. Tidak kira siapa, asalkan dapat meringankan kesusahan yang kami alami,” luahnya.
Menurut beliau, banjir kali ini menyebabkan kerosakan teruk pada kediamannya dengan hampir 60 peratus rumah mengalami kemusnahan termasuk dinding pecah, lantai rosak serta peralatan elektrik dan barangan keperluan harian yang tidak dapat digunakan lagi.
Pada masa sama, salah seorang mangsa banjir di Kampung Pujut Tanjung Batu, Asiah Marasin, 74 tahun, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima dan berharap lebih banyak pihak akan turut serta membantu mangsa yang terkesan.
Jelasnya, bantuan kewangan yang diterima akan digunakan untuk membeli kekurangan barangan keseharian yang penting
“Bantuan yang diterima ini saya gunakan untuk membeli barang keperluan sedikit demi sedikit. Masih banyak yang perlu dibaiki terutamanya di bahagian bawah rumah,” katanya.
Sebanyak 514 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir termasuk tanah runtuh telah menerima bantuan kewangan daripada Persatuan Yayasan Taiwan Buddhist Tzu-Chi Malaysia Cawangan Miri menerusi satu majlis yang diadakan di SK AGAMA (MIS) MIRI dan SJK(C) Chung Hua Sibuti hari ini.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui saluran rasmi pertubuhan yang terlibat atau menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk maklumat lanjut. – TVS