KUCHING, 22 Feb: Dalam usaha mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan mampan di rantau ini, Sarawak mengadakan perbincangan strategik dengan Datuk Bandar Bergen, Marit Warncke bagi meneroka peluang kerjasama tenaga hijau serta bandar lestari.
Delegasi Sarawak yang diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu memberi tumpuan kepada perkongsian teknologi, pelaburan dalam tenaga bersih dan amalan terbaik dalam pembangunan bandar mampan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dengan kepakaran Bergen dalam perancangan bandar pintar dan pengurangan jejak karbon, Sarawak melihat potensi besar untuk mempercepatkan peralihan tenaga serta memperluaskan ekonomi hijau.
“Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dengan 62 peratus daripada campuran tenaganya berasal daripada sumber boleh diperbaharui terutamanya hidroelektrik.
‘Melalui projek-projek mega seperti Empangan Murum dan Bakun, Sarawak berjaya mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan meletakkan dirinya sebagai hab tenaga bersih di rantau ini,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, Bergen merupakan model bandar lestari global dengan penekanan kepada mobiliti hijau, tenaga bersih dan perancangan bandar mesra alam serta terkenal dengan sistem pengangkutan awam elektrik, penggunaan tenaga boleh diperbaharui meluas serta pengurangan pembaziran karbon melalui inovasi teknologi.
Sehubungan itu, Sarawak sedang giat membangunkan bandar pintarnya termasuk Kuching Smart City dan projek bandar mampan lain.
“Lawatan ini membolehkan delegasi Sarawak mempelajari strategi Bergen dalam mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar sekali gus mempercepatkan pelaksanaan inisiatif bandar hijau di wilayah ini,” jelas kenyataan tersebut.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memainkan peranan utama dalam merangka strategi serantau untuk memajukan tenaga hijau dan pembangunan mampan.
Dengan memperkukuhkan kerjasama bersama Bergen dan Norway, Sarawak bukan sahaja dapat mengakses teknologi hijau terkini tetapi juga menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor tenaga bersih serta membuka peluang baharu dalam ekonomi hijau.
Lawatan tersebut merupakan satu langkah penting dalam mempercepatkan peralihan tenaga Sarawak, mengukuhkan kedudukannya sebagai hab tenaga bersih dan membina masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang. -TVS