MIRI, 22 Feb: Acara larian Miri Marathon pada April kelak dijangka melonjakkan jumlah resit pelancongan dengan kemasukan pengunjung dari dalam dan luar Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, acara tersebut bukan sahaja bakal menarik pengunjung tempatan, malah turut membawa pengunjung antarabangsa masuk ke negeri ini khususnya di bahagian Miri.
“Kami menjangkakan penglibatan pengunjung dalam acara ini akan membantu dalam sektor pelancongan di Sarawak kerana apabila mereka datang ke sini, seperti yang diakui oleh pemain industri sebelum ini, fasiliti seperti hotel akan penuh dan sebagainya,” katanya kepada TVS ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Apresiasi Media dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di sini pada Jumaat.
Pada masa sama beliau memberitahu Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) bekerjasama rapat dengan penganjur Miri Marathon bagi menjayakan acara tahunan itu.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penganjur atas kerja keras dan usaha yang dilaksanakan bagi memastikan acara tersebut berjalan dengan lancar.
“MTCP membantu penganjur dari segi kewangan juga, agar dapat menarik lebih ramai pelari untuk datang dan mengambil bahagian dalam acara ini.
“Sudah tentu, sesetengahnya adalah pelari yang serius, ada yang hanya ingin menyelesaikan cabaran tersendiri,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Miri Marathon 2025 menawarkan empat kategori iaitu 42km Full Marathon, 21km Half Marathon, 10km Speed Run dan 5km Fun Run.
Seramai 8,000 peserta dijangka menyertai Miri Marathon 2025 yang bakal berlangsung pada 13 April.
Ia bukan sahaja memberi peluang kepada pelari tempatan dan antarabangsa bersaing tetapi diiktiraf sebagai perlumbaan kelayakan untuk Kejohanan Dunia Abbott World Marathon Majors (AbbottWMM). – TVS