Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak mula disalurkan ke e-dompet S Pay Global para penerima. Foto AI Image

Troli penuh berkat SKAS, ucapan ‘terima kasih Abg Jo’ terselit

SUMBANGAN Keperluan Asas Sarawak (SKAS) menjadi topik hangat dalam kalangan rakyat Sarawak, terutamanya di media sosial sejak Selasa lepas.

Sejak kerajaan Sarawak memperkenalkan bantuan ini, banyak hantaran yang muncul di Facebook, menggambarkan bagaimana SKAS memberi impak besar kepada penerima bantuan.

Ramai pengguna media sosial berkongsi gambar mereka yang membawa troli berisi dengan barangan runcit dan keperluan lain hasil bantuan SKAS.

Masing-masing kelihatan begitu teruja dan bersyukur atas bantuan yang diterima.

Di samping itu, ramai juga yang berkongsi resit pembelian barangan runcit dan gambar barangan yang mereka beli, memberi gambaran betapa besarnya impak SKAS kepada kehidupan harian mereka.

Bahkan, beberapa pasar raya dan kedai runcit di Sarawak turut mengumumkan bahawa mereka menerima pembelian menggunakan sistem pembayaran global yang disediakan oleh SKAS, memudahkan penerima bantuan untuk membeli barangan keperluan tanpa sebarang masalah.

Situasi ini menyebabkan ramai orang beratur panjang menunggu giliran untuk membayar barangan yang mereka beli menggunakan bantuan tersebut. Gambar-gambar barisan panjang di pasar raya turut mendapat perhatian di media sosial.

Selain itu, terdapat beberapa hantaran yang menunjukkan penerima bantuan SKAS yang tidak dapat menahan rasa syukur mereka, dengan ada yang menulis di laman sosial mereka, “Alhamdulillah.. terima kasih Abg Jo.. Ado juak stock k bulan puasa.”

Hal ini menunjukkan bahawa bantuan ini bukan sahaja membantu mereka memenuhi keperluan harian, tetapi juga memberikan harapan menjelang bulan Ramadan.

Namun, di sebalik kegembiraan ini, timbul juga beberapa dakwaan yang menimbulkan kerisauan. Beberapa kedai didakwa menawarkan khidmat mengeluarkan duit bantuan SKAS secara tunai, sesuatu yang jelas ditegah oleh kerajaan.

Secara keseluruhannya, SKAS memberikan manfaat yang besar kepada rakyat Sarawak, membantu mereka dalam memenuhi keperluan asas.

SKAS merupakan satu inisiatif baharu bantuan kewangan Kerajaan Sarawak yang bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.

Bantuan yang diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, November lepas itu mula disalurkan kepada para penerima secara berperingkat bermula 18 Februari lepas.

Di bawah SKAS, Kerajaan Sarawak menyasarkan 886,288 penerima dengan peruntukan RM450 juta.

Sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memperkasakan perkhidmatan digital, SKAS disalurkan kepada para penerima menerusi perkhidmatan e-dompet, S Pay Global.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan