MIRI, 21 Feb: Penjaja di Pasar Batu Niah meluahkan rasa lega dan bersyukur selepas beroperasi di bangunan baharu.
Mereka ternyata berpuas hati dengan kemudahan lebih selesa dan selamat yang disediakan berbanding lokasi sebelum ini.
“Tempat ini lah bagus dan hati kami senang. Terima kasih Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) menyediakan kemudahan ini,” kata Pauline Bugat kepada TVS hari ini.
Seorang lagi penjaja Gloria Bangkong berkata, keselamatan di pasar tersebut turut dipertingkatkan.
“Dari segi keselamatan sekarang ini kami tidak risau kerana sudah akan ada penjaga yang ditugaskan di sini. Mereka akan bertugas bermula pada jam 6 petang hingga 6 pagi,” ujarnya.
Tambah Pauline, keadaan pasar lama sering terdedah kepada hujan dan banjir menyebabkan urusan perniagaan terganggu.
“Kalau dulu kedai kami diperbuat daripada kayu. Kemudian untuk menaik taraf, kami dipindahkan ke tapak sementara. Dulu susah, sebab berpanas tiada kipas dan akan terkena hujan,” jelasnya.
Pasar Batu Niah yang beroperasi seawal jam 5 pagi hingga 1 tengah hari menjadi tumpuan penduduk setempat dan pengunjung yang melalui kawasan itu.
Penjaja turut berharap pasar tersebut akan menarik lebih ramai pelanggan sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka. – TVS