KUALA LUMPUR, 21 Feb: Satu sindiket antarabangsa yang menggunakan hasil kegiatan haram untuk membeli lapan unit kondominium mewah berharga belasan juta ringgit secara tunai di Persiaran Stonor, ibu negara berjaya ditumpaskan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket berkenaan turut menjadikan kondominium berkenaan yang terletak tidak jauh dari Menara Berkembar Petronas (KLCC) sebagai markas operasi mereka.
Jelas beliau setiap unit kondominium itu dianggarkan berharga RM2 juta, berdasarkan dokumen perjanjian jual beli rumah (SNP) yang ditemui polis ketika serbuan.
“Dalam serbuan pada 19 Februari lepas, seramai 14 individu termasuk ketua sindiket berjaya ditahan.
“Kesemua mereka terdiri daripada tujuh lelaki dan empat perempuan China, seorang lelaki Turkiye dan dua warga tempatan yang berperanan sebagai pemandu.
“Turut dirampas wang tunai hampir RM5 juta, mata wang asing Filipina, Hong Kong, Kemboja dan Macau selain dua kenderaan mewah dan beg berjenama,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ramli berkata, sindiket berkenaan menawarkan peranti telefon, komputer, barangan mewah seperti beg Loius Vuitton dan Balenciaga sebagai hadiah judi dalam talian kepada pemain pemain baharu dari China.
“Mangsa diarahkan membuat pembayaran bagi menyertai pertandingan dan dikenakan bayaran tambahan sekiranya ingin meneruskan permainan.
“Bagaimanapun setelah bayaran dibuat, sindiket tidak dapat dihubungi,” katanya.
Mengulas lanjut katanya sindiket ini dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah sama di Filipina dan menggunakan wang keuntungan itu membeli hartanah di Malaysia dengan nilai keseluruhan RM16 juta.
“Sindiket ini didapati memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sekitar Oktober 2024,” katanya.
Beliau memberitahu, 12 individu asing direman selama empat hari manakala dua rakyat tempatan direman dua hari berakhir hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – TVS.