Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Awang Tengah mendengar perbincangan semasa taklimat bersama (dari kiri) Ismawi, Peter Austin, Jefferson dan Wilson

Oslo model pembangunan bandar mampan di Sarawak

ByFebbright James

OSLO, 21 Feb: Sarawak terus giat meneroka dan melaksanakan amalan bandar mampan sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan kepentingan kelestarian dengan menjadikan Oslo iaitu ibu negara Norway sebagai rujukan.

Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan delegasi Sarawak ke negara tersebut ialah sebahagian daripada usaha Sarawak untuk meneroka rangka kerja perancangan Bandar Oslo di Norway yang boleh disesuaikan untuk memenuhi cabaran unik di Sarawak iaitu sebuah kawasan yang memiliki ciri-ciri topografi serupa terutamanya dalam pembangunan tanah tinggi.

Oslo model pembangunan bandar mampan di Sarawak | TVS

“Lawatan delegasi Sarawak ke Norway ini bertujuan untuk memahami undang-undang, peraturan dan garis panduan yang mengawal pembangunan bandar di Oslo serta struktur perancangan dan proses tadbir urus bandar tersebut.

“Semasa sesi perbincangan, delegasi juga telah membentangkan rancangan untuk pembangunan Bandar Baru Kapit iaitu sebuah projek yang direka untuk menangani cabaran-cabaran khusus topografi berbukit Sarawak yang menyerupai landskap di Oslo dan Bergen, Norway,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, RECODA memaklumkan salah satu fokus utama lawatan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni itu ialah untuk memahami bagaimana Oslo berjaya mengintegrasikan zon perindustrian dan perumahan untuk menyokong aktiviti ekonomi sambil menyeimbangkan keperluan untuk pertumbuhan mampan.

“Delegasi juga berminat untuk mempelajari bagaimana bandar ini telah menyatupadukan sistem pengangkutan dengan pembangunan bandar untuk memastikan ketersambungan antara kawasan kediaman, perindustrian dan komersial.

Selain daripada aspek teknikal perancangan bandar, delegasi juga diberi taklimat oleh Penasihat Perancangan Bandar Oslo, Peter Austin mengenai bagaimana ruang hijau seperti taman bandar diintegrasikan ke dalam landskap bandar Oslo di samping memelihara warisan budaya bandar tersebut dengan menekankan pentingnya penyertaan orang awam dalam proses perancangan bandar.

“Delegasi juga sedang meneroka amalan terbaik dalam beberapa bidang utama, termasuk pengurusan sisa, pengurusan tasik, projek perumahan, penjagaan kesihatan, dan pembangunan kemudahan sukan dan rekreasi yang menyumbang kepada kesejahteraan penduduk bandar,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, salah satu aspek penting lawatan tersebut juga memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi terutamanya dalam sektor-sektor yang menjadikan Norway sebagai peneraju global seperti minyak dan gas, perhutanan, pertanian, dan tenaga.

“Sarawak amat berminat untuk bekerjasama dalam teknologi baru seperti Penangkapan, Penggunaan, dan Penyimpanan Karbon (CCUS), ekonomi digital, dan penyelesaian tenaga bersih seperti Hidrogen dan Teknologi Hijau.

“Delegasi ini mengiktiraf potensi kerjasama bersama antara Sarawak dan Norway dalam sektor-sektor penting ini kerana kedua-dua wilayah berkongsi matlamat yang sama dalam melaksanakan pembangunan ekonomi yang mampan,” jelas kenyataan tersebut.

Delegasi tersebut optimis bahawa kerjasama ini akan membawa kepada perkongsian jangka panjang antara Sarawak dan Oslo dengan memberi tumpuan kepada strategi pembangunan untuk menyimbangkan keperluan bandar dan kelestarian.

Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan delegasinya telah diberi taklimat tentang pembangunan bandar raya itu oleh pihak berkuasa Oslo.

Delegasi  turut disertai Datuk Jefferson Jamit Anak Unyat,  Wilson Nyabong Anak Ijang,  Datu  Abdullah Julaihi, Datu Lester Matthew, Dzulkornain Masron, Mohd Adzrul Adzlan iaitu wakil  Pejabat Peguam Negara Negeri dan pegawai utama dari Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Sarawak, wakil kerajaan tempatan dan perancang bandar.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan