Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Taktik baharu sindiket seleweng LPG bersubsidi dikesan, rampasan bernilai RM1.6 juta.

Taktik baharu sindiket seleweng LPG bersubsidi dikesan, rampasan bernilai RM1.6 juta

ByBernama

PUCHONG, 20 Feb: Sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di sini dikesan menggunakan taktik baharu dengan menjalankan kegiatan memindahkan LPG 14 kilogram (kg) bersubsidi kepada tong LPG 50kg untuk kegunaan industri bukan bersubsidi di dalam lori bonded bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Taktik berkenaan berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam serbuan di sebuah premis di Taman Meranti Permai pada 11 malam semalam dan turut membuat sitaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.6 juta.

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata hasil risikan selama sebulan mendapati premis berkenaan merupakan pemborong LPG berlesen yang telah beroperasi selama satu hingga dua tahun sebagai pembekal dan pengedar.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya menemui peralatan seperti hos penyambung dan tong berisi ais dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan kandungan LPG itu.

“Hasil penemuan peralatan itu, kami mengesyaki aktiviti di premis ini menjual LPG 50kg yang berisi LPG bersubsidi kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah iaitu pada sekitar RM190 berbanding harga sebenar mengikut pasaran iaitu RM220.

“Pasukan serbuan merampas lebih 4,000 tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg, 17 buah lori, peralatan decanting serta beberapa dokumen perniagaan bagi siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan RM1.6 juta,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan hari ini.

Mohd Zuhairi berkata modus operandi baharu ini menggunakan tiga tong LPG 14kg jenis bersubsidi untuk menjalankan aktiviti decanting iaitu memindahkan gas kepada tong LPG 50kg tidak bersubsidi dengan anggaran 100 hingga 300 tong LPG 50kg mampu diisi dalam sehari.

“Setiap tong LPG 14kg mengambil masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk dipindahkan dan keseluruhan masa diperlukan adalah 45 minit untuk memenuhkan tong LPG 50kg.

“Taktik yang digunakan ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa kerana dibuat di dalam badan lori bonded dan turut menggunakan teknik konvensional dengan ais digunakan untuk memampatkan lagi gas,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 21 lelaki berada di tempat kejadian semasa serbuan termasuk empat warga tempatan dengan seorang daripadanya merupakan pemilik premis berkenaan.

“Empat warga tempatan yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis manakala 17 tahanan warga asing dengan tiga daripadanya tidak mempunyai dokumen sah perjalanan dibawa ke Jabatan Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut.

“Selebihnya 14 tahanan warga asing pula kami akan dapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan