KUCHING, 20 Feb: Bas hidrogen milik Sarawak Metro Sdn. Bhd. kini kembali meneruskan perkhidmatan operasi percubaan setelah selesai kerja penyelenggaraan berjadual.
Sejak diperkenalkan pada 2020, perkhidmatan operasi percubaan ini bertujuan memperoleh pengalaman dan pengetahuan secara langsung mengenai kenderaan tanpa pelepasan karbon, selain meningkatkan kesedaran awam tentang mobiliti hidrogen.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa berkata, sejak ia diperkenalkan, lebih 60,000 penumpang dibawa dengan jumlah meningkat setiap tahun.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa bas hidrogen masa depan ini akan berperanan sebagai bas pengantara, menyediakan sambungan “jarak pertama dan terakhir” Transit Aliran Autonomi (ART) apabila perkhidmatan penumpang bagi Fasa 1 projek KUTS mula beroperasi.
Dalam pada itu, beliau menambah, bas hidrogen sedia ada terus beroperasi secara percuma di dua laluan khas iaitu di ‘Downtown Heritage Loop’ yang beroperasi setiap hari, dan ‘Damai Loop’ pada hujung minggu.
Tambahnya, ‘Downtown Heritage Loop’ membawa penumpang mengelilingi pusat bandar, manakala ‘Damai Loop’ pula menghubungkan pusat bandar ke Damai Central.
Ujarnya, operasi percubaan ini juga banyak menyumbang ke arah pencapaian aspirasi Sarawak dalam mentransformasikan sektor pengangkutan awam melalui teknologi hidrogen.
Jadual perjalanan bas boleh didapati di laman web Sarawak Metro di www.mysarawakmetro.com dan aplikasi mudah alih ‘H2 Sarawak’. -TVS