KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran untuk menimbangkan pelaksanaan proses pengundian secara digital sebagai salah satu langkah bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 dilaksanakan dengan lebih selamat ketika pandemik COVID-19.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang membuat saranan itu berkata SPR juga perlu memastikan sistem itu benar-benar berkesan sebelum ia dilaksanakan.
“Bagi saya kita sekarang berada di era digital dan pastinya semua rakyat sudah tahu parti mana yang mereka mahu undi menjelang pilihan raya ini,” katanya menerusi rakaman video di akaun Facebooknya pada hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak berkata kaedah lain yang boleh digunakan adalah dengan memanjangkan tempoh pengundian sehingga sebulan seperti yang pernah dilakukan pada tahun-tahun 1970an.
“Apa yang penting adalah untuk memastikan proses pilihan raya dan pengundian dapat dijalankan dengan lebih terkawal bagi mengelak penularan wabak COVID-19,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Asajaya itu.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai 2021 telah mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri Sarawak dari 2 Ogos hingga 2 Februari tahun depan, seterusnya menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh tersebut.
Seri Paduka bertitah perisytiharan itu berikutan wabak COVID-19 yang telah mengancam keselamatan, kehidupan, ekonomi dan ketenteraman awam.
Bagaimanapun, Seksyen 2 (2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang dikeluarkan berikutan Proklamasi Darurat Sarawak itu menyatakan Seri Paduka boleh menamatkan proklamasi itu lebih awal setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak untuk membolehkan Pilihan Raya Negeri diadakan, namun fasal tersebut tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN.