KUCHING, 20 Feb: Oslo, ibu negara Norway yang terkenal dengan perancangan bandar lestari, kini menjadi rujukan bagi Sarawak dalam memperhalusi Pelan Induk Kapit.
Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang kini dalam lawatan rasmi ke Oslo diberi taklimat tentang pembangunan bandar raya itu oleh pihak berkuasa Oslo.
Beliau bersama delegasinya, meneliti perancangan infrastruktur serta strategi pembangunan bandar yang boleh dijadikan penanda aras utama bagi pertumbuhan Kapit.
“Oslo dipilih kerana pendekatan inovatifnya dalam perancangan bandar, penzonan dan projek infrastruktur yang boleh menjadi rujukan berharga bagi pembangunan Kapit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dengan sistem pengangkutan awam cekap, penggunaan teknologi perancangan digital, serta komitmen terhadap infrastruktur mesra alam, Oslo menjadi contoh terbaik bagi Sarawak dalam memperkasakan pembangunan luar bandar.
Dalam pada itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni, Pelan Induk Kapit menekankan kepentingan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian alam sekitar, selaras dengan pendekatan global dalam pembangunan lestari.
Katanya, dengan wawasan dan pengalaman yang diperoleh daripada Oslo, Sarawak kini semakin bersedia untuk merangka strategi pembangunan luar bandar yang mampan, moden dan mesra alam. – TVS