KUCHING, 19 Feb: Penggunaan aplikasi pembayaran digital seperti aplikasi S pay Global semakin meluas dan memudahkan urusan pembelian barangan keperluan harian terutamanya barangan dapur.
Namun begitu, pengkreditan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) ke dalam aplikasi terbabit diakui memberi impak kepada golongan warga emas ekoran kurang mahir dalam penggunaan teknologi.

Menurut seorang pengguna, Izzah Amin, 33, penggunaan aplikasi ini sememangnya membantu dalam urusan harian, terutamanya dalam pembelian barangan dapur.
“SKAS ini sebenarnya digunakan untuk membeli keperluan dapur dan lain-lain. Saya sendiri menggunakannya untuk membeli barangan dapur,” katanya ketika ditemui TVS di CityOne Megamall di sini, hari ini.
Namun begitu, Izzah berpendapat ia boleh menjadi cabaran bagi mereka yang kurang mahir menggunakan aplikasi tersebut.
“Bagi mereka yang sudah biasa menggunakan teknologi, aplikasi ini memang memudahkan. Namun, bagi warga emas, ia agak sukar. Contohnya, ibu saya sendiri menghadapi kesukaran kerana aplikasi ini lebih mesra pengguna muda.
“Bagi golongan yang tidak mahir dengan teknologi, mereka perlu bergantung kepada anak-anak untuk menguruskan pembelian menggunakan SPay atau SKAS,” ujarnya.
Menurutnya, terdapat warga emas yang tidak mempunyai wakil atau anak untuk membantu mereka menguruskan transaksi secara digital.
“Saya ada terdengar tentang seorang warga emas yang terlantar sakit (bedridden) dan tidak dapat ke pusat tertentu untuk mendaftar SKAS.
“Berbanding dengan sistem digital ini, sebelum ini ada baucar fizikal yang lebih mudah digunakan oleh golongan tersebut. Saya berharap pihak kerajaan dapat menyediakan alternatif yang lebih mesra warga emas,” tambahnya.
Walaupun pembayaran melalui S Pay Global kini diterima di banyak kedai, Izzah tetap berpendapat bahawa masih ada ruang untuk penambahbaikan, terutama dalam memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menggunakannya dengan mudah.
“Bagi warga emas, lebih baik sekiranya sistem ini tidak terlalu bergantung kepada penggunaan telefon pintar. Sebagai contoh, ibu saya lebih selesa menggunakan wang tunai kerana beliau tidak biasa dengan telefon Android.
“Selain itu, warga emas juga mempunyai keperluan khas seperti ubat-ubatan dan susu khas. Oleh itu, saya berharap ada alternatif lain yang lebih mesra warga emas agar mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi dalam telefon pintar,”ujarnya.
Bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) telah mula dikreditkan kepada 886,288 penerima yang layak bermula pada 18 Februari 2025, Selasa dan berperingkat.-TVS