KUALA LUMPUR, 18 Feb: Video promosi sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat, kata Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu memberitahu, video yang memaparkan keindahan dan keunikan di setiap negeri itu sudah siap sepenuhnya.
Kata King Sing beliau akan melihat versi akhirnya pada petang ini.
“Sehubungan itu, saya sekali lagi menggesa agar semua pihak untuk berhenti mempolemikkan isu berkait video tersebut kerana ia akan menjejaskan kelancaran TMM 2026.
“Janganlah semua main politik dan jangan salah faham. Video sebelum ini hanya untuk promosikan logo sahaja,”di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nurul Amin Hamid (Perikatan Nasional – Padang Terap) berhubung montaj pelancaran TTMM2026 yang dikatakan tidak memaparkan imej masjid.
Dalam pada itu, menjawab soalan berhubung strategi dan program dilaksanakan untuk meningkatkan pelancong Muslim ke Malaysia yang turut diajukan oleh Nurul Amin, King Sing berkata beliau sudah meminta Pusat Pelancongan Islam (ITC) melaksanakan kempen lebih agresif dalam sektor pelancongan Islam.
“Kita juga sedang berusaha memperluaskan promosi TMM2026 ke pasaran besar seperti China yang mempunyai ramai pelancong dengan perbelanjaan tinggi,” katanya. – TVS