PUTRAJAYA, 18 Feb: Penglibatan usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan negara setakat ini masih sangat rendah, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurut beliau statistik menunjukkan daripada keseluruhan jumlah pemain industri perkayuan negara, penglibatan golongan itu kurang satu peratus.
“(Sebenarnya) industri ini (perabot dan perkayuan) pada 2023, telah menjana nilai eksport lebih RM22 bilion.
“Di sinilah saya ingin tekankan betapa pentingnya industri ini dan kita mahu lebih banyak lagi kaum Bumiputera untuk turut serta,”katanya.
Johari berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Pemerkasaan Bumiputera Dalam Industri Perkayuan di sini, hari ini.
Sementara itu beliau berkata masalah yang dihadapi oleh kebanyakan usahawan Bumiputera dalam sektor berkenaan adalah berkaitan rantaian bekalan.
“(Namun) hal ini boleh diselesaikan dengan menjalin kerjasama yang baik dengan syarikat bukan Bumiputera,” katanya.
Beliau memberi contoh, syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkemungkinan mempunyai idea reka bentuk yang menarik manakala syarikat bukan Bumiputera pula mempunyai kapasiti untuk pengeluaran besar-besaran.
Tambah beliau kerjasama lain yang boleh diteroka termasuk pasaran eksport produk kayu-kayuan dan rantaian bekalan bahan mentah untuk menghasilkan perabot.
“Tiga pasaran utama yang mengimport produk kayu-kayuan dari Malaysia adalah Amerika Syarikat, Eropah dan Asia,” katanya. – TVS.