KLANG, 18 Feb: Penjenayah dikehendaki polis dikenali sebagai ‘Ah Boy’ yang mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis pagi tadi ‘sempat’ melakukan lima kes jenayah samun dan ugutan ketika dalam pemburuan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussain Omar Khan berkata, lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu juga disahkan sebagai suspek kes menembak seorang pekerja pembersihan di sebuah pusat membeli- belah di Shah Alam pada 8 Februari lepas.
Berikutan kematian suspek, kata Hussain Omar, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang- kurangnya 15 kes jenayah membabitkan lelaki itu.
“ Selepas kejadian di pusat membeli belah itu, suspek melarikan diri ke Melaka namun kembali semula Ke Sabak Bernam dan terlibat melakukan kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan.
“Suspek bergerak secara solo dengan menggunakan kenderaan e-hailing serta mengugut pemandu lori dengan senjata api yang dimilikinya,” katanya pada sidang media di Jeti Pulau Ketam di sini hari ini.
Pada pukul 3 pagi tadi, lelaki berkenaan maut selepas terlibat dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di sebuah hotel di Pulau Ketam.
Kata beliau polis berjaya mengesan suspek di negeri ini sejak dua hari lepas dan dia mendaftar masuk di hotel itu malam tadi dan dipercayai sedang merancang untuk melarikan diri ke luar negara.
“Polis turut menemui dua pucuk pistol yang berisi peluru dalam bilik disewa lelaki berkenaan,” katanya.
Sementara beliau turut meminta orang ramai supaya tidak bimbang berikutan lelaki itu yang berkeliaran serta mengugut mangsa dengan pistol telah ditembak mati.
Tambah beliau berdasarkan rekod lelaki itu mula terlibat dalam jenayah samun dan curi kenderaan sejak 2014 serta pernah dipenjarakan sebanyak dua kali.
“Sebelum ini dia melakukan jenayah berkumpulan namun sejak setahun lepas dia mula bergerak solo,” katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat. – TVS