KUALA LUMPUR, 18 Feb: Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menetapkan beberapa kriteria-kriteria yang perlu dipenuhi syarikat baharu bagi melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor, kata Anthony Loke.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, ini termasuk melabur untuk membina kepakaran dan keupayaan dalam industri itu.
Kata beliau, keupayaan kewangan merupakan faktor utama bagi memastikan syarikat yang dipilih dapat memenuhi semua piawaian yang ditetapkan termasuk penyediaan peralatan pemeriksaan, tenaga kerja dan kebolehlaksanaan operasi.
“Bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan, pemohon juga dibenarkan untuk mewujudkan syarikat baharu atau menggunakan syarikat tidak berkaitan perniagaan kenderaan bagi tujuan permohonan lesen Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (PPKM).
“Ini bertujuan untuk mewujudkan pemisahan perniagaan dan mengelakkan situasi di mana syarikat yang mempunyai perniagaan kenderaan untuk meluluskan kenderaan melalui PPKM sendiri,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (Perikatan Nasional – Jerantut) yang ingin tahu relevensi pengalaman di dalam industri pemeriksaan kenderaan motor bagi pemilihan syarikat-syarikat yang bakal bersaing dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Mengulas lanjut, Anthony berkata, tiga syarikat yang telah terpilih adalah berdasarkan kelulusan bersyarat yang mewajibkan syarikat memastikan penyediaan infrastruktur, peralatan, tenaga kerja dan keperluan lain dalam tempoh 24 bulan sebelum lesen operasi dikeluarkan.
Tambah beliau, sekiranya syarikat terpilih gagal memenuhi syarat dalam tempoh yang ditetapkan, lesen operasi tidak akan diberikan.
“Dalam tempoh pembangunan ini, MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan syarikat yang dilantik mematuhi semua syarat dan standard operasi PPKM yang telah ditetapkan.
“Lesen operasi hanya akan diberikan setelah syarikat berkenaan memenuhi kesemua keperluan peraturan dan kelengkapan peralatan serta bersedia untuk memulakan operasi,” katanya. – TVS