Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sarawak rancakkan lagi pembangunan teknologi menerusi TEGAS Digital Village

ByFebbright James

KUCHING: TEGAS Digital Village (TDV) akan menjadi salah satu tempat tumpuan utama di Sarawak yang berperanan sebagai pusat bagi merancakkan lagi pembangunan teknologi dan nilai komersial dengan mempromosikan inovasi digital dan keusahawanan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkesempatan meninjau TDV pada hari ini di Sama Jaya High Tech Park untuk melihat sendiri projek yang hampir siap ini.

Projek yang mula dibina pada Januari 2019 ini turut dikenal pasti sebagai salah satu pemangkin strategi di bawah Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2025.

“Model pembinaan ini adalah Silicon Valley di Amerika Syarikat yang merupakan tempat pereka baharu memulakan perniagaan mereka sehingga membangun menjadi syarikat bertaraf antarabangsa. Inilah apa yang kita ingin laksanakan di sini,” kata Abang Johari.

“Di bangunan ini juga kita telah menyediakan kemudahan untuk mereka menjalankan perniagaan di mana kualiti produk mereka dapat dipertingkatkan dan diproses melalui makmal ujian bagi menjamin kualiti terbaik,” ujarnya lagi ketika melakukan tinjauan pada hari ini.

Inisiatif ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan dalam bidang teknologi dan inovasi, seterusnya merancakkan lagi pembangunan ekonomi di Sarawak.

Menerusi projek TDV ini, antara inisiatif yang akan dijalankan termasuk program mempercepatkan pertumbuhan dan peningkatan, pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D), akses pasaran dan fasiliti, inovasi korporat dan peningkatan ekosistem serta sokongan Harta Intelek (IP).

“Selain itu, dengan inisiatif ini saya percaya masa depan Sarawak adalah cerah dengan adanya teknologi seperti ini,” tambah Abang Johari.

“Rakyat juga dapat menambah pendapatan menerusi teknologi ini di samping menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.”

Menurut Abang Johari, TDV berkonsepkan persekitaran hijau di mana setiap struktur pembinaannya menepati piawaian yang telah ditetapkan bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar.

TDV juga memainkan peranan dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi berteknologi tinggi dan keusahawanan selain berupaya untuk menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di Sarawak.

Dalam pada itu, Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh turut bersetuju bahawa ekonomi digital banyak mengubah gaya hidup masyarakat di Sarawak terutamanya ketika negara berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan