KUCHING, 2 SEP: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah setuju jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan tempoh pengundian selama beberapa hari untuk melaksanakan pilihan raya.
Katanya, pertimbangan seperti ini adalah wajar sekiranya situasi pandemik COVID-19 masih belum reda.
“Saya sokong sekrianya SPR merasakan bahawa perlunya ‘staggered election’ ataupun pilihan raya yang dipanjangkan bagi memastikan pilihan raya yang lebih terkawal.
“Kita khuatir jika diadakan secara serentak, ia berkemungkinan boleh menjadi punca kepada penyebaran wabak COVID-19,” katanya.
Walaubagaimanapun, katanya, kerajaan telahpun meletakkan keutamaan untuk memberikan suntikan imunisasi COVID-19 kepada seramai mungkin penduduk.
Ini adalah bagi memastikan liputan vaksin yang mencukupi untuk mencapai imuniti kelompok.
Sementara itu, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan tidak menolak sekiranya SPR tampil dengan kaedah pengundian secara dalam talian.
“Apa yang penting, sistem itu haruslah telus.
“Sekiranya SPR dapat menambah baik sistem pengundian seperti itu, tiada lagi keperluan untuk pengundi beratur panjang di pusat pengundian dan sudah tentu, ia akan diterima baik semua,” ujarnya.