KUCHING, 16 Feb: Yusuf Abd Wahab menyifatkan pemilihannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sayap Bumiputera sebagai tanggungjawab besar.
Ahli Parlimen Tanjong Manis itu memenangi pemilihan yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Ke-16 PBB di sini semalam.
“Saya sedar bahawa tanggungjawab ini amat besar, lebih-lebih lagi dalam memastikan PBB terus menjadi tunjang kekuatan politik Sarawak dan memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat Sarawak,” katanya menerusi hantaran di laman media sosialnya, hari ini.
Keputusan pemilihan jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi PBB diumumkan Pengerusi Pemilihan Perhimpunan Agung PBB Dato Awang Bemee Awang Ali Basah.
Sambil mengucapkan tahniah kepada calon-calon yang bertanding, beliau berkata akan berikrar untuk terus bekerja keras, memperjuangkan dasar-dasar parti, mempertahankan hak Sarawak dan memastikan suara rakyat sentiasa didengar serta diperjuangkan.
“Semangat demokrasi yang ditunjukkan dalam pemilihan ini membuktikan bahawa PBB adalah sebuah parti yang matang, kukuh dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta negeri Sarawak,” ujarnya.
Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli parti, jentera dan penyokong yang telah memberikan kepercayaan serta sokongan padu kepadanya dalam pemilihan ini.
“Kemenangan ini bukan sekadar satu kemenangan peribadi, tetapi adalah kemenangan untuk kita semua dalam meneruskan perjuangan parti yang kita cintai,” katanya. -TVS