Kuching, 16 Feb: Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, dilantik semula sebagai Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi tempoh tiga tahun.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Yang Dipertua PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam Mesyuarat Agung PBB Ke-16 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Menurut Abang Johari, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Timbalan Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua Kanan PBB sebelum dipersetujui oleh para perwakilan dari 82 cawangan parti.
“Selepas berbincang dengan Timbalan Yang Dipertua PBB dan juga Naib Yang Dipertua Kanan, kita mencadangkan pelantikan semula Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi,” katanya.
Nanta, yang sebelum ini memegang jawatan tersebut, dijangka terus memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hala tuju dan organisasi parti menjelang pilihan raya negeri dan umum akan datang.
Pelantikan ini adalah sebahagian daripada pembentukan jawatankuasa baharu Majlis Tertinggi PBB bagi sesi 2025-2028. – TVS