KUCHING, 15 Feb: Proses pemilihan Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sempena Konvensyen PBB ke-16 berlangsung dalam suasana lancar dan harmoni sekali gus mencerminkan semangat kekeluargaan yang kukuh dalam parti.
Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadi pemimpin pertama membuang undi di dewan utama Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), menandakan bermulanya proses pemilihan rasmi.
Pemilihan kali ini menyaksikan persaingan bagi empat jawatan Naib Yang Dipertua sayap Bumiputera yang ditandingi oleh enam calon berpengalaman, iaitu Datuk Len Talif Salleh, Datuk Ibrahim Baki, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Dr Annuar Rapaee, Dato Sri Julaihi Narawi dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Selain itu, seramai 39 calon bertanding bagi kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB, merangkumi kedua-dua sayap Bumiputera dan Pesaka.
Bagi jawatan tertinggi parti, beberapa pemimpin utama kekal menerajui kepimpinan tanpa pertandingan, Yang Dipertua; Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Yang Dipertua; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Naib Yang Dipertua Kanan; Datuk Seri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Turut mengekalkan jawatan mereka ialah Dato Sri Fatimah Abdullah sebagai Ketua Pergerakan Wanita PBB, manakala Datuk Martin Ben kini dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda PBB yang baharu menggantikan Miro Simuh.
Terdahulu, Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mengumumkan pembubaran Majlis Tertinggi PBB sesi 2022-2025 memberi laluan kepada pemilihan baharu.
Keputusan rasmi akan diumum esok sebelum sesi penggulungan mesyuarat. – TVS