KUCHING, 15 Feb: Selain mengkaji model perniagaan, Kerajaan Sarawak akan memberi tumpuan kepada penetapan kadar tiket yang lebih murah untuk penerbangan AirBorneo.
Mendedahkan perkara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pihaknya akan mendapatkan perolehan pesawat baharu untuk laluan antarabangsa.
āModel perniagaannya terpulang kepada kita untuk tentukan, tetapi ia tidak boleh didedahkan sekarang.
āKedua, kita memang fokus dengan harga tiket, jangan mahal sangat, ketiga selepas kita mendapatkan jet (pesawat besar), tidak dapat mengunakan pesawat enjin kipas (propeller) untuk pergi ke Singapura, Jakarta,ā katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.
Abang Johari turut tertarik dengan respons awam di media sosial mengenai syarikat penerbangan Sarawak itu termasuk cadangan ilustrasi luaran pesawat yang mengadaptasikan motif Borneo.
āBukan mudah untuk ambil alih MASWings, rundingan demi rundingan, akhirnya proses itu berjaya dimuktamadkan.
āDi media sosial, pelbagai bentuk corak dan warna pesawat, tetapi inilah peringkat pertama bagi kita memiliki syarikat penerbangan sendiri,ā katanya.
Sementara itu dalam sidang media, Abang Johari berkata penubuhan AirBorneo memberi kesan positif kepada tenaga kerja, permohonan anak Sarawak yang berkhidmat sektor penerbangan untuk kembali ke negeri asalnya.
Katanya, kerajaan negeri terus komited membangunkan dan memacu ekonomi sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak Sarawak untuk berbakti kepada negeri kelahiran sendiri.