Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Bekas pemain badminton negara kini ketua jurulatih Qatar

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR: Bekas pemain badminton kebangsaan Muhammad Syawal Ismail kini membuka lembaran baharu dalam kariernya apabila beliau diikat oleh Persatuan Badminton Qatar sebagai ketua jurulatih badminton negara itu.

Bakal memulakan tanggungjawab itu pada bulan ini, Muhammad Syawal, 30 tahun, berkata, beliau memohon jawatan tersebut pada Oktober tahun lepas dan menerima khabar gembira pada Januari lalu.

“Temuduga dilakukan menerusi sidang video sahaja dan mereka berpuas hati dengan misi dan visi saya untuk meningkatkan mutu badminton di negara berkenaan,” katanya kepada TVS hari ini.

Muhammad Syawal yang tiba di Qatar kelmarin kini sedang menjalani kuarantin wajib dan akan memulakan tugas selepas proses itu berakhir.

Ditanya mengenai cabaran yang bakal ditempuhinya, Muhammad Syawal berkata, beliau akan berusaha untuk meningkatkan mutu pemain badminton di Negara Teluk itu sehingga dapat bersaing pada peringkat antarabangsa.

“Saya difahamkan ketika ini terdapat antara lapan hingga 10 pemain badminton skuad kebangsaan Qatar yang berpotensi. Ini merupakan cabaran untuk meningkatkan motivasi supaya mereka tidak gentar apabila bertemu lawan dari negara lain yang lebih hebat dalam sukan badminton,” katanya.

Sepanjang kariernya bersama pasukan kebangsaan selama sembilan tahun, Muhammad Syawal pernah membantu skuad remaja negara muncul sebagai naib juara berpasukan dunia pada 2009.

Beliau juga pernah menjuarai Kejohanan Siri Antarabangsa Laos pada 2017 selain mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia pada 2009.

Selepas ‘bersara’ ,  graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Malaya itu menubuhkan akademi badmintonnya sendiri iaitu Syawal Badminton Training selain menjadi Ketua Jurulatih program pembangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ditanya sama ada beliau menerima tawaran lumayan untuk berpindah ke Doha, Muhammad Syawal mengakui ia merupakan tawaran yang berbaloi dan sukar dilepaskan.

“Bagaimanapun, sejak setahun lepas, saya juga diuji apabila akademi badminton tidak dapat beroperasi kerana pandemik yang menjejaskan pendapatan. Saya anggap ini sebagai rezeki dan pada masa sama sangat gembira kerana akan dapat menyumbang kepada pembangunan sukan badminton,” katanya.

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan