MIRI, 14 Feb: Persatuan Melodi Kenangan Artis Dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) bersama dengan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) terus komited dalam menjaga kebajikan artis-artis veteran serta memartabatkan warisan seni tanah air menerusi penganjuran Konsert Rakyat Siti Payung pada malam esok.
Pelakon veteran, Amran Nasruddin yang kini memegang jawatan sebagai ahli dalam PEMEKAR serta PKAVM, usaha ini bertujuan untuk mengangkat semula nama artis-artis veteran yang semakin kurang mendapat perhatian dalam industri hiburan.
“Artis-artis veteran kini semakin kurang mendapat peluang berlakon mahupun menyanyi. Oleh itu, kami membawa mereka dalam satu organisasi untuk menaikkan kembali nama mereka agar generasi sekarang mengenali dan menghargai sumbangan mereka kepada industri seni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS di acara Sepetang Bersama Artis dan Influencer Konsert Rakyat Siti Payung di Hotel Nur, Miri, hari ini.
Sejak tahun 2022, PEMEKAR telah menganjurkan lebih daripada 100 acara dan aktiviti termasuk penganugerahan khas kepada artis-artis veteran berusia 70-an dan 80-an.
“Antara nama besar yang telah diberi penghargaan termasuk Dato Rahim Razali, Dato Johari Salleh, S. Atan, A. Galak, Margaret Gan, Allahyarham Hail Amir, Mat Over (Hussein Abu Hassan) dan Ahmad Tarmimi Siregar.
“Kami telah memberikan penghormatan kepada ramai artis veteran menerusi pelbagai program termasuk Bicara Tokoh dan konsert khas,” katanya lagi.
Amran turut menegaskan bahawa konsep konsert ini bukan hanya tertumpu di Kuala Lumpur, tetapi turut dibawa ke pelbagai lokasi termasuk Miri, Kuching, dan Bintulu.
Dengan penglibatan artis-artis veteran, konsert ini diharap dapat memberi pengalaman bermakna kepada penonton dan mendidik generasi muda mengenai sejarah seni tanah air.
“Proses untuk menjadi penyanyi bukan mudah. Namun, apabila mereka mendengar secara langsung, mereka akan lebih menghargai dan menyanyikan semula lagu-lagu ini di masa akan datang,” tambahnya. – TVS