KUCHING, 13 Feb: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo disaran untuk menggunakan model perniagaan hibrid bagi memastikan kelangsungan jangka panjang selain membolehkan harga tiket penerbangan kekal rendah kepada penumpang.
Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS, Profesor Dr Evan Lau berkata, model tersebut berupaya mengimbangi tujuan penjanaan keuntungan dan penawaran harga kompetitif.
“Model hibrid bermaksud menyumbang kepada masyarakat sambil memastikan syarikat penerbangan kekal berdaya maju dari segi kewangan.
“Ini termasuk menawarkan harga yang kompetitif dan bersubsidi sambil menjana pendapatan untuk menyokong operasi jangka panjang,” katanya ketika dihubungi TVS.
Pada masa sama, beliau mencadangkan AirBorneo menjalin kerjasama strategik dengan agensi pelancongan, syarikat penerbangan lain atau perjanjian antara kerajaan negara serantau seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan sebagainya bagi merancakkan lagi sektor pelancongan Sarawak serta memperkukuh hubungan udara serantau.
“Pelancongan adalah salah satu sektor ekonomi yang penting, bukan sahaja di dunia tetapi juga di Sarawak.
“Kerjasama ini boleh membawa keuntungan yang dapat memastikan perniagaan kekal mampan untuk jangka panjang,” ujarnya.
Selain itu, Dr Evan turut menekankan kepentingan imej dan jenama bagi memastikan AirBorneo menonjol sebagai salah sebuah syarikat penerbangan serantau terkemuka.
“AirBorneo perlu membina jenama dan identiti yang kukuh sebagai satu strategi pemasaran yang baik agar orang ramai boleh mengenalinya,” jelasnya.
Dr Evan yakin AirBorneo mampu menjadi pemain utama dalam pasaran penerbangan yang kompetetif di rantau ini. -TVS