KUCHING, 13 Feb: Semua hak dan perkara yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC Report) harus dihormati dan dilaksanakan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus komited untuk memperjuangkan hak Sarawak yang termaktub di dalam kedua-dua dokumen berkenaan.
“MA63 dan Laporan IGC merupakan asas kepada kewujudan negara Malaysia. Jadi kita adalah rakan kongsi yang sama rata dalam pembentukkan Malaysia. Tanpa MA63 Malaysia tidak akan wujud.
“Kami akan teruskan (tuntutan) sebab ini lah tanggungjawab kami yang diamanahkan oleh rakyat dan dalam Perhimpunan Agung PBB nanti kita akan memperjuangkan apa yang termaktub dalam MA63.
“Kita berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan terutamanya kepada Perdana Menteri kerana sudah banyak perkara yang dapat diselesaikan dan mana yang belum dapat diselesaikan kita akan terus berbincang dan perjuangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam satu temu bual khas bersempena dengan Perhimpunan Agung PBB ke-16.
Menurutnya, sememangnya menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat untuk melaksanakan perjanjian tersebut seperti mana dipersetujui semasa pembentukkan Malaysia.
“Setiap mesyuarat Majlis Tindakan MA63, kita telah membincangkan isu-isu dan mencapai banyak kejayaan. Perdana Menteri juga turut mengatakan bahawa perjanjian ini bukan dibuat semalam dan telah dipersetujui bersama,” ujarnya.
Jelasnya, sebagai rakan kongsi yang sama rata, selain MA63 dan Laporan IGC, Sarawak dan Sabah turut menikmati hak istimewa seperti yang termaktub dalam Senarai Negeri (State List) dan Senarai Bersama (Concurrent List) dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak diberikan kepada negeri lain.-TVS