KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Kerajaan menetapkan harga borong dan runcit maksimum kit ujian pantas antigen COVID-19 masing-masing dikawal pada RM16.00 dan RM19.90.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), harga siling itu berkuat kuasa 5 Sept ini, di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penentuan harga itu dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Ia bagi memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.
“Penentuan harga dibuat berdasarkan maklumat harga daripada pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara.
“Begitu juga, maklum balas dari agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit dan persatuan farmasi barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, permintaan terhadap kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian kendiri) dijangka meningkat susulan kesedaran orang ramai membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas dari wabak.
“KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka sekarang,” tambahnya.
Sementara itu, perkara sama turut dimaklumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar melalui akaun Twitter beliau.