Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Lukanisman Awang Sauni. Foto arkib Jabatan Penerangan Malaysia.

KKM lancar inisiatif strategik tangani beban pesakit di hospital kerajaan

ByAhmad Burhanuddin

Kuala Lumpur, 13 Feb: Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pengembangan Wellness Hub (WH) dan pendigitalan sistem kesihatan untuk meningkatkan kesejahteraan kesihatan rakyat.

Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) itu menyaksikan sebanyak 33 WH beroperasi di seluruh negara.

Kata beliau, ini dilaksanakan dengan pelan pengembangan yang lebih luas dan meningkatkan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti secara bersasar.

“Bermula Julai 2024, pesakit di fasiliti kesihatan boleh dirujuk ke WH berdekatan melalui sistem myVAS, manakala orang awam boleh membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera serta kapasiti klien WH dipertingkatkan secara proaktif melalui aktiviti jangkau luar perkhidmatan bergerak Wellness on Wheels kepada komuniti.

“Jumlah WH diperluaskan ke semua daerah di seluruh negara termasuk menambah bilangan jawatan Pegawai Pendidikan Kesihatan (bidang sains tingkah laku) bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dr. Mohammed Taufiq Johari (Pakatan Harapan – Sungai Petani) yang ingin tahu adakah kerajaan akan meningkatkan kapasiti WH, serta menggunakan teknologi seperti telemedicine untuk menangani beban pesakit di hospital dan isu beban pesakit yang semakin meningkat di hospital kerajaan.

Selain itu, kata Lukanisman, dalam usaha mentransformasi sistem kesihatan negara, KKM akan melaksanakan cloud-based Hospital Information System (HIS) di fasiliti kesihatan secara langganan yang dijangka siap pada 2028.

“Pendigitalan menyeluruh sistem kesihatan melalui penggunaan Electronic Medical Record (EMR) berasaskan pengkomputeran awan ini merupakan satu langkah strategik oleh KKM untuk menangani beban pesakit di hospital sekaligus meningkatkan kecekapan rawatan dan pengurusan pesakit,” ujarnya.

Sementara itu, bagi mengatasi isu beban pesakit di hospital kerajaan yang semakin meningkat, jelas Lukanisman, beberapa inisiatif telah dijalankan termasuklah melaksanakan Inisiatif Hospital Kluster untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepakaran kepada masyarakat luar bandar.

“Selain itu, melaksanakan Hospital Services Outsourcing Program (HSOP) iaitu penyumberluaran pesakit dari hospital KKM ke Kemudahan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) bagi mengurangkan masa menunggu pesakit untuk mendapatkan prosedur tertentu dalam perkhidmatan kardiologi, kardiotorasik, nefrologi dan radiologi.

“Antara lain, projek kerjasama awam-swasta dilaksanakan bagi mengurangkan masa menunggu untuk perkhidmatan pembedahan serta Perkhidmatan Value Added Service oleh unit farmasi dan Perkhidmatan Konsultasi secara Maya (Virtual Clinic) bagi mengurangkan kesesakan di klinik,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan