SHAH ALAM, 13 Februari: Seorang pesara swasta mengalami kerugian mencecah RM1.7 juta selepas menjadi mangsa skim pelaburan UKXVE yang dicadangkan individu bernama Prof Lim.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pada hujung Ogos 2024, mangsa yang berumur 67 tahun itu berminat untuk melabur selepas melihat iklan di Facebook.
Jelas beliau, mangsa kemudian dimasukkan dalam group WhatsApp dan telah membuat 16 transaksi kepada enam akaun berbeza.
“Dua individu yang disyaki dalang scam pelaburan saham ini adalah Prof. Lim dan Branda Ng.
“Pada Oktober 2024, Prof. Lim mencadangkan mangsa untuk membuat pelaburan dalam pasaran mata wang bitcoin dan krypto selepas dia memberitahu mangsa pelaburannya di Malaysia dan America Syarikat mencapai kemuncak.
“Mangsa menyedari ditipu apabila tidak mendapat apa-apa pulangan yang dijanjikan dan membuat laporan polis,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -TVS.