MIRI. 13 Feb: Masyarakat digesa untuk terus mempertahankan keharmonian dan perpaduan di negeri ini bagi memastikan ia terpelihara untuk generasi akan datang.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, usaha ini penting untuk menjaga keamanan sedia ada memandangkan Sarawak mempunyai pelbagai etnik.
“Hampir sebulan kita menyambut perayaan Tahun Baru Cina, yang juga diraikan oleh masyarakat lain di Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama.
“Tindakan ini mencerminkan warisan budaya serta semangat keharmonian dan perpaduan antara semua kaum di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena merasmikan sambutan Chap Goh Mei di Tua Pek Kong, Miri, semalam.
Menurutnya, masyarakat harus menghargai dan mengekalkan tradisi ini supaya generasi akan datang dapat membesar dalam masyarakat yang mengamalkan kebebasan dan kepelbagaian.
“Kita mesti mempertahankan keharmonian di Sarawak dan menolak sebarang ideologi ekstrem yang boleh merosakkan perpaduan kita.
“Fahaman ekstrem bukan sahaja memecahbelahkan masyarakat, tetapi juga bertentangan dengan nilai kepelbagaian dan keterangkuman yang kita pegang,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Sarawak komited dalam memelihara kebebasan beragama dan kepelbagaian budaya demi kesejahteraan bersama.
“Masyarakat di Sarawak sentiasa mengamalkan sikap terbuka serta memberi sokongan kepada semua komuniti etnik dan agama di negeri ini.
“Marilah kita terus mengekalkan semangat keharmonian ini dan bersama-sama membangunkan Sarawak yang lebih progresif dan terbuka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan kejayaan Sarawak dalam menubuhkan syarikat penerbangan sulungnya, AirBorneo, sebagai langkah besar dalam meningkatkan kesalinghubungan udara di Sarawak dan seluruh Kepulauan Borneo.
“AirBorneo akan beroperasi di Sarawak serta meliputi Sabah dan Kalimantan, Indonesia, yang akan memudahkan perjalanan dan menggalakkan Borneo dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa syarikat penerbangan ini masih dalam proses penyediaan dan dijangka dilancarkan secara rasmi sama ada pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.
Terdahulu, Tua Pek Kong telah menerima lebih RM2 juta peruntukan dalam bentuk geran kerajaan sepanjang lima tahun lepas untuk menaik taraf infrastrukturnya.
Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membantu pembangunan rumah ibadah dan institusi kebudayaan. -TVS